KARANGAN C: RESPON TERBUKA


LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME

Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? (82 patah perkataan)

Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. (100 patah perkataan)

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. (81 patah perkataan)

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. (93 patah perkataan)

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.(78 patah perkataan)

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK

Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik.(IU) Isu yang mencetuskan polemik dalam kalangan media massa saban hari ini pantas meniti dari bibir ke bibir. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya hedonistik yang begitu cepat merebak umpama virus epidemik.(UI) Maka, prakarsa yang pragmatik perlu diambil demi memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi menjadi bubur.(KS)(67 patah perkataan)

Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan.(AI) Program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Hal ini demikian kerana tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak, dan aktiviti berkumpulan.(H/C) Melalui aktiviti – aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.(H/F) Hal ini dapat memupuk perpaduan yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, ’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.(H/F)(100 patah perkatan)

Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai.(AI) Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong dapat menjadi inspirasi dan idola para remaja.(H/C) Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan ’tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata.(H) Para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.(H)(104 patah perkataan)

Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan.(KI) Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Para remaja digalakkan menyertai PLKN dan membaca kehidupan tokoh-tokoh pejuang bangsa bagi menyuburkan kecintaan kepada negara.(RI) Pendek kata, ”Negara Kita Tanggungjawab Kita” tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua !(H)(69 patah kata)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.